Kisah
Isra' Mi'raj' yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani
' adalah begitu popular di kalangan masyarakat dan diutarakan dalam pelbagai
bentuk yang menarik terutamanya pada musim Isra' Mi'raj'.
Kisah
ini diterima bulat-bulat tanpa dipersoalkan dan diperiksa kecacatannya oleh
kerana ia telah dimasukkan ke dalam sukatan-sukatan mata pelajaran Agama Islam
termasuklah sukatan yang disediakan oleh Universiti al-Azhar- Sila rujuk buku
sukatan pelajaran Muthala'ah yang diterbitkan oleh Universiti al-Azhar untuk
peringkat menengahnya.
Kita
berasa sedih dengan nasib ummah yang malang ini. Setelah merosot dalam
segala-galanya dan berada dalam keadaan tenat, umat Islam disuapkan pula dengan
ubat-ubat beracun berupa cerita -cerita yang karut marut seperti ini. Apa
agaknya yang akan terjadi kepada ummah ini jika keadaan ini dibiarkan terus
merebak.
Walaupun
al-Quran secara lantang mengatakan, “Maha Suci Tuhan yang telah menperjalankan
hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa"- (Surah al-Isra'
ayat 11); walaupun Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang
muktabar dengan terang-terang menyebutkan riwayat dari Anas bin Malik dan Malik
bin Sa'sa'ah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Ketika saya berada di Baitullah,
ketika saya berada dalam hatim (yakni di Masjidil Haram)", namun sebahagian
besar ulama' masih lagi dengan lantang berkhutbah di atas mimbar dengan
mengemukakan riwayat mi'raj Nabi s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani
'!
Mereka
adalah golongan yang membaca al-Quran dan hadis, tetapi masih tidak mahu
meninggalkan riwayat tersebut. Sebaliknya mereka cuba mengemukakan
bermacam-macam ta'wilan dengan mengatakan umpamanya, rumah Ummu Hani' itu
terletak dalam hatim! Padahal telah diketahui umum bahawa tiada rumah sesiapapun
dalam hatim itu! Ada juga yang mengatakan bahawa ketika Baginda s.a.w.
beristirehat di rumah Ummu Hani', tiba-tiba datang dua orang malaikat, mereka
menebuk bumbung rumah Ummu Hani' lalu mengangkat Baginda s.a.w. ke
Ka'bah.
Ta'wilan-ta'wilan
seumpamanya ini terpaksa dilakukan oleh mereka untuk mengkompromikan keterangan
al-Quran dan hadis yang jelas dengan riwayat "Imam al-Maghazi" Muhammad bin
Ishaq.
Begitu
mendalamnya kesan dan pengaruh Ibnu Ishaq itu dalam fikiran umat Islam dan ia
melekat dengan begitu kuat sekali sehingga tidak boleh ditanggalkan lagi
!
Sebenarnya,
cerita yang mengatakan dua malaikat menebuk bumbung rumah Ummu Hani' untuk
membawa keluar Rasulullah s.a.w. ke Baitullah atau ke Masjidil Haram itu lebih
cocok dikaitkan dengan inovasi kumpulan penculik dari mengaitkannya dengan sabda
Nabi s.a.w.! Akan ada pula nanti orang yang bersangka baik terhadap
pengendap-pengendap atau penyamun-penyamun yang mengintai-intai mereka dari atas
bumbung rumah.....manalah tahu jangan-jangan mereka juga malaikat seperti yang
tersebut dalam riwayat ini !!!.
Kisah
ini bukan sahaja telah dikemukakan oleh Ibnu Ishaq, malah ia juga telah
dikemukakan oleh al-Kalbi- seorang pendusta besar dan Syi'ah pekat seperti Ibnu
Ishaq dan ramai lagi orang-orang yang seperti mereka.
Riwayat
yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq adalah sebagaimana berikut: Di antara kisah
yang sampai kepada saya dari Ummu Hani' binti Abi Thalib berhubung Isra'
Rasulullah s.a.w ialah beliau (Ummu Hani') menceritakan, “Rasulullah s.a.w.
tidak diIsra'kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku. Baginda s.a.w
tidur di samping ku pada malam itu di rumah ku. Mula-mula Baginda s.a.w
bersembahyang Isya' kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar
Rasulullah telahpun mengejutkan kami lalu bersembahyang Subuh. Kami
bersembahyang bersamanya."
Setelah
itu Rasulullah bersabda, “Wahai Ummu Hani'! Malam tadi saya telah bersembahyang
bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke
Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh
bersama kamu seperti yang kamu saksikan."
"Setelah
itu Rasulullah s.a.w bangkit untuk keluar. Aku memegang hujung selimut Baginda
s.a.w, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibti yang berlipat lalu
aku pun berkata kepada Baginda s.a.w, “Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau
ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau
dan menyakitimu". Baginda s.a.w berkata, “Demi Allah! Aku tetap akan
menceritakan kepada mereka". Ummu Hani’ berkata, "Akupun memerintahkan seorang
sahaya perempuanku berketurunan Habsyi, “Eh! Ikutlah Rasulullah s.a.w. supaya
engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula
reaksi mereka terhadap keterangan Baginda itu."
Sebelum
itu Ibnu Ishaq telah pun mengemukakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dinukilnya
dari Hasan Basri di mana diceritakan, “Setelah pagi sekembalinya Rasulullah
s.a.w dari Isra' Mi'raj, Baginda s.a.w menceritakan kepada orang-orang Quraisy
peristiwa perjalanannya. Berkatalah kebanyakan orang, “Demi Allah! Pelik betul
cerita ini. Jarak yang direntasi oleh unta sebulan perjalanan dari Mekah ke Syam
dan sebulan pula perjalanan balik dari sana ke Mekah mungkinkah boleh direntasi
oleh Muhammad dalam hanya satu malam dan sudah pun ia sampai ke Mekah? " Maka
ramailah orang-orang yang telah memeluk Islam menjadi murtad. Orang ramai terus
pergi kepada Abu Bakar untuk bertanya beliau.." - (Ibid jilid 2 m.s. 32,33 &
34)
Ibnu
Ishaq, Ibnu Sa'ad dan al-Kalbi langsung tidak mengemukakan isnad mereka dalam
menyampaikan kisah ini. Tetapi Ibnu Jarir, at-Thabari, Baihaqi, Ibnu Abi Hatim,
Abu Ya'la dan Ibnu Asakir telah mengemukakan isnad bagi kisah ini. Perawi-perawi
yang tersebut dalam isnad mereka ialah Abu Ja'far -ar Razi, Abu Harun al-Abdi
dan Khalid bin Yazid atau Abu Malik. Marilah kita berkenalan sebentar dengan
perawi-perawi tersebut :-
1)
Abu Ja'far ar-Razi
Namanya
Isa bin Abi Isa. Lahir di Basrah dan menetap di Ray. Di antara orang yang
meriwayatkan daripada beliau ialah anak beliau sendiri Abdullah dan Abu Nu'aim.
Meskipun Yahya bin Ma'in dan Abu Hatim mengatakan beliau seorang tsiqah namun
Ali Ibnu Madini mengatakan beliau seringkali melakukan kesilapan.
Riwayat-riwayatnya bercelaru. Fallas berkata, “Ingatannya sangat teruk." Ibnu
Hibban berkata, “Dia seringkali mengemukakan riwayat-riwayat yang mungkar dengan
menghubungkan kepada Imam-Imam yang masyhur." Abu Zur'ah berkata, “Selalu dia
mengalami kecelaruan fikiran (waham)." Imam Zahabi pula berkata, “Dia telah
mengemukakan peristiwa Mi'raj dalam satu riwayat yang panjang melalui Rabi' bin
Anas. Diambilnya dari Abu al-'Aaliah dan Abu al-' Aaliah pula mengambilnya dari
Abu Hurairah. Di dalam riwayatnya itu banyak sekali perkara-perkara mungkar ".-
(Mizan al-I'tidal jilid 3 m.s. 320)
Imam
Zahabi telah menghukum mungkar riwayat ini kerana terdapat dalam sanadnya Abu
Ja'far ar-Razi, kerana kecacatan pada buruknya ingatannya dan beliau selalu
mengaitkan cerita karut dengan Imam-Imam yang masyhur. Bagaimana dengan dua
orang lagi perawi dalam isnad tersebut? Selepas Abu Ja'far ar-Razi mari kita
lihat perawi seterusnya.
2)
Khalid bin Yazid
Abu
Malik ad-Dimasyqi - Dia adalah penduduk Damsyik. Yahya bin Ma'in berkata, “Dia
adalah seorang manusia yang lemah". Imam Ahmad berkata, “Dia tiada bernilai
langsung." Nasa'i berkata, “Dia tidak tsiqah". Daraquthni berkata berkata, “Dia
seorang da'if". Ibnu Abi al-Hawari menceritakan bahawa, “Saya pernah mendengar
Yahya bin Ma'in berkata, “Di Iraq ada sebuah kitab yang perlu dikebumikan iaitu
tafsir al-Kalbi (yang kemudiannya terkenal dengan Tafsir Ibnu Abbas). Di Syam
pula ada sebuah kitab yang juga perlu dikebumikan iaitu kitab ad-Diyat tulisan
Khalid bin Yazid. Hati Khalid ini tidak akan senang selagi tidak berbohong
tentang ayahnya dan para sahabat ".
Ahmad
bin Abi al-Hawari ini juga berkata, “Dulu saya pernah menyalin kitab Khalid ini
tetapi kemudiannya saya memberikannya kepada penjual ubat untuk dijadikan kertas
pembungkus ubat-ubatnya." Imam Zahabi berkata, “Dia dilahirkan pada tahun 105H
dan mati ketika berumur 80 tahun." - (Lihat Mizan al-I'tidal jilid 1 m.s
654)
Keterangan
di atas membuktikan bahawa Khalid bin Yazid adalah seorang yang tidak boleh
diterima menurut sekalian ulama' hadis. Imam Yahya bin Ma'in bahkan mengatakan
beliau seorang pendusta besar. Dia banyak berbohong tentang para
sahabat.
3)
Perawi ketiga ialah Abu Harun al-Abdi
Namanya
ialah Umarah bin al-Juwain. Riwayat-riwayatnya terdapat dalam Sunan Tirmidzi dan
Sunan Ibnu Majah. Imam Zahabi berkata, “Dha'if." Hammaad bin Zaid berkata,
“Pembohong." Imam Ahmad berkata, “Tidak bernilai langsung." Yahya bin Ma'in
berkata, “Dia seorang dha'if (lemah). Riwayat-riwayatnya tidak boleh
dibenarkan." Nasa'i berkata, “Matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan dan
tidak dipakai hadisnya)." Ibnu Hibban berkata, “Dia selalu mengaitkan
riwayat-riwayat dengan Abu Sa'id al-Khudri iaitu riwayat-riwayat yang tidak
pernah dikemukakan oleh Abu Sa'id." Imam Syu'bah berkata, “Kalau aku diberi
pilihan di antara 2 perkara, sama ada aku dibunuh atau mengemukakan kepada orang
ramai riwayat-riwayat Abu Harun, maka aku akan memilih supaya dibunuh, aku tidak
akan mengemukakan riwayatnya. Sebelum ini aku selalu bertanyakan halnya dari
setiap qafilah yang datang tetapi kemudian dia datang ke Basrah. Padanya ada
sebuah kitab. Saya membaca kitab itu. Saya mendapati dia menuliskan
keburukan-keburukan Ali di dalamnya."
Iman
Daraquthni berkata, "Dia seorang yang sentiasa berubah-ubah. Kadang-kadang
menjadi seorang Rafidhi (Syi'ah), kadang-kadang menjadi seorang Khariji (orang
Khawarij)."
Ibnu
Hibban berkata, “Riwayat-riwayat yang dikaitkannya dengan Abu Sa'id al-Khudri
semuanya bohong. Abu Sa'id tidak pernah meriwayatkan begitu." Jauzajani berkata,
“Abu Harun adalah seorang pendusta besar. Dia selalu menuduh para sahabat dengan
pelbagai tuduhan." Syu'bah berkata lagi, “Pernah aku pergi kepadanya dan meminta
supaya menunjukkan kepadaku riwayat-riwayat yang dikaitkan Abu Sa'id dengannya.
Dia meletakkan sebuah kitab di hadapanku. Di antara yang tersebut di dalam kitab
itu ialah Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawa Utsman bin Affan telah benar-benar
kufur terhadap Allah s.w.t. sebelum beliau wafat. Saya mengembalikan kitab itu
kepadanya dan terus pulang.
Itulah
dia Abu Harun al-Abdi yang menulis tentang keburukan-keburukan Sayyidina Ali dan
juga keburukan-keburukan Sayyidina Utsman. Jika orang seperti ini mengemukakan
riwayat yang menyebut bahawa, " Setelah Nabi S.A.W menceritakan peristiwa Isra'
Mi'raj yang dialaminya, maka murtadlah sekian ramai orang-orang yang telah
memeluk Islam; barangkali mengikut Abu Harun al-Abdi ini termasuklah juga
Sayyidina Ali dan Sayyidina Utsman, kerana bukanlah ramai sangat orang-orang
yang telah memeluk agama Islam hingga ke waktu itu.
Yahya
bin Ma'in berkata, “Abu Harun mempunyai satu sahifah yang dipanggilnya Sahifah
al-Washi (penerima wasiat atau Sahifah Ali). Saleh bin Muhammad pula berkata
bahawa, “Abu Harun lebih bohong daripada Firaun. Dia telah meninggal dunia pada
tahun 134H." - (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s
173-174).
Itulah
sekilas pandang tentang perawi-perawi kisah Isra' Nabi S.A.W dari rumah Ummu
Hani'. Mereka terdiri dari orang-orang Syi'ah seperti Ibnu Ishaq juga dan telah
dihukum oleh ulama' Rijal dengan pelbagai hukuman seperti yang telah dikemukakan
tadi.
Sekarang
mari pula kita menilai riwayat tersebut dengan neraca dirayah dan logik untuk
menentukan di mana letaknya kepalsuan dan serentak dengan itu dapat kita faham
apa maksud sebenar di sebalik cereka itu.
1)
Isra'
dan Mi'raj Nabi s.a.w. berlaku sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Pada waktu itu
Ummu Hani' masih belum memeluk agama Islam. Beliau hanya memeluk agama Islam
setelah Mekah ditakluk Nabi pada tahun 8 Hijrah.
2)
Sembahyang
Isya' dan Subuh baru difardhukan pada malam Mi'raj itu. Bagaimana mungkin
seperti yang tersebut di dalam riwayat ini di mana Nabi s.a.w telah
bersembahyang Isya' bersama Ummu Hani' yang belum Islam di
rumahnya?
3)
Siapakah
yang dimaksudkan oleh Ummu Hani' dengan perkataan ' kami' dalam riwayat ini
iaitu……”Kami bersembahyang bersama Nabi"? Kalau yang dimaksudkan ' kami' di sini
termasuk suami beliau Hubairah, maka suaminya adalah di antara musuh ketat
Rasulullah s.a.w pada ketika itu bahkan setelah Mekah dikuasai Nabi s.a.w pun
dia tidak memeluk agama Islam sebaliknya cabut lari ke Najran. Kemudian dari
sana dia berangkat pula ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai
seorang Kristian.
4)
Tersebut
juga dalam sirah bahawa Nabi s.a.w telah melamar Ummu Hani' kepada Abu Thalib
sebelum Baginda s.a.w berkahwin dengan Khadijah tetapi Abu Thalib menolak
mentah-mentah lamaran itu dengan alasan Nabi s.a.w seorang yang papa kedana dan
tidak mulia. Setelah itu Abu Thalib mengahwinkan Ummu Hani' dengan Hubairah yang
merupakan musuh ketat Rasulullah s.a.w.
Dalam
keadaan sebegini wajarkah Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani'? Sememangnya
musuh-musuh Islam mereka cerita ini dengan maksud menuduh Nabi s.a.w dengan 2
tuduhan iaitu :-
1)
Jika
kita andaikan Hubairah pada malam itu berada di rumah maka ia menunjukkan betapa
tidak malunya Nabi s.a.w kerana telah bermalam di rumah seorang yang Nabi
sendiri telah dianggap sebagai papa kedana dan tidak mulia berbanding orang itu.
Lebih penting dari itu, bagaimana Rasulullah s.a.w boleh bermalam di rumah
musuhnya? Tidakkah mungkin Hubairah juga telah mengetahui bahawa Nabis.a.w
pernah melamar Ummu Hani' sebelumnya? Tidakkah mungkin timbul rasa cemburu di
dalam hati Hubairah, manalah tahu kalau-kalau Nabi s.a.w masih menaruh hati
kepada isterinya? Apalagi bila diingatkan Muhamamd adalah musuh
ketatnya?
2)
Jika
diandaikan pada malam itu Hubairah tiada di rumah pula, maka cerita ini akan
membuka peluang seluas-luasnya untuk meragui kesucian peribadi Nabi s.a.w.,
kerana Nabi s.a.w. digambarkan telah tidur bersama seorang perempuan yang pernah
dilamarnya dahulu, di rumah perempuan itu pada ketika ketiadaan suaminya. Malah
cerita ini menunjukkan betapa intimnya perhubungan Nabi s.a.w dengan Ummu Hani'.
Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada keesokan paginya bila mana Nabi
s.a.w bersedia untuk keluar memberitahu orang ramai tentang Isra' Mi'rajnya,
bagaimana Ummu Hani memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi
s.a.w yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat.
3)
Kisah
ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih
menurut ilmu usul hadis. Salah satu tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah ia
bercanggah dengan al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
4)
Tidak
masuk akal sama sekali Nabi s.a.w akan meninggalkan rumahnya sepanjang malam
untuk bermalam di rumah seorang perempuan asing dalam keadaan di rumah Baginda
s.a.w. sendiri masih ada dua orang anak perempuan Baginda iaitu Fatimah dan Ummi
Kultsum. Dalam kisah ini tidak diterangkan pula kepada siapakah Nabi s.a.w
meninggalkan mereka berdua dan untuk apa Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani
'?
5)
Tindakan
Ummu Hani' memegang hujung selimut Nabi s.a.w pada keesokan paginya menunjukkan
dengan jelas bahawa Hubairah tiada di rumah. Kalau Hubairah tiada di rumah maka
siapakah lagi yang tidur di rumah Ummu Hani ' pada malam itu dan bersembahyang
secara berjamaah? Sesungguhnya kisah ini merupakan satu serangan yang amat
dahsyat terhadap kesucian peribadi Nabi s.a.w. Ia tidak mungkin dicipta dan
direka kecuali oleh musuh-musuh Nabi s.a.w
6)
Dalam
riwayat Hasan Basri pula tersebut bahawa setelah Nabi s.a.w mengemukakan
peristiwa Isra' dan Mi'raj, maka murtadlah ramai orang yang telah memeluk agama
Islam. Tetapi tidak pula dalam riwayat ini disebutkan nama orang-orang yang
telah murtad itu. Siapakah mereka? Sedangkan orang-orang yang memeluk agama
Islam pada ketika itu tidaklah begitu ramai. Nama-nama mereka pun disebutkan
dengan jelas dalam kitab-kitab sirah. Sesungguhnya kisah ini juga merupakan satu
serangan ke atas keikhlasan dan keteguhan para iman para sahabat Nabi s.a.w ia
hanya rekaan musuh-musuh sahabat semata-mata.
7)
Sebenarnya
orang-orang yang mereka kisah ini adalah orang-orang Syi'ah seperti yang
terbukti pada latar belakang perawi-perawinya yang telah disebutkan sebelum ini.
Sesuatu cerita rekaan Syi'ah pasti akan mempunyai unsur melebih-lebihkan
Sayyidina Ali dan mengistimewakannya dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang lain.
Bukankah Ummu Hani' ini kakak kepada Sayyidina Ali, anak kepada Abu Thalib?
Bagaimana Syi'ah akan melepaskan peluang ini? Mereka tidak menerima sesuatu
peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tanpa adanya peranan
Sayyidina Ali atau keluarganya di sebalik peristiwa itu.
NLH
NLH